Selasa, 29 Mei 2012

Cintai Rasulullah

Antara tanda penghormatan dan rasa kecintaan kepada Rasulullah SAW ialah melalui membaca selawat. Semakin banyak selawat dilafaz semakin besar fadilat dan ganjaran pahalanya di sisi Allah SWT. Kita seharusnya selalu membaca selawat dan jangan menunggu ketika tibanya musim Maulidur Rasul barulah hendak mempergiatkan bacaan itu.


Sebenarnya, bukan manusia mukmin saja yang rindu dan cintakan Rasulullah SAW, kerana jika rajin menyusuri sirah Baginda akan terpahat satu kisah yang sebenarnya patut kita semat di dalam hati sebagai penghayatan.

Diceritakan oleh Jabir bin Abdullah, katanya, “Dulu, masjid menggunakan atap dari pelepah kurma. Apabila berkhutbah, Baginda Rasulullah SAW berdiri berdekatan salah satu pelepah itu. Apabila dibina sebuah mimbar untuknya, Baginda selalu berdiri di atasnya. Kami mendengar tangisan dari pelepah itu seperti unta bunting, sehingga Rasulullah SAW datang mendekatinya lalu mengelus pelepah itu, kemudian pelepah itu terdiam.” (Riwayat Bukhari)

Baginda Rasulullah SAW berpindah ke mimbar yang baru dibina itu adalah hasil pandangan sahabat, memandang semakin ramainya jemaah. Jadi, berdasarkan kisah itu, dapat kita tafsirkan betapa Rasulullah SAW menjadi manusia yang sentiasa dirindu seluruh makhluk Allah kerana Baginda pembawa rahmat.

Kejadian yang dapat disaksikan oleh sahabat Baginda membuktikan kenabian Rasulullah SAW dan hal itu memperkukuhkan iman dan takwa dalam kalangan mereka. Aisyah pernah menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah berada di tengah-tengah sekelompok kaum Muhajirin dan Ansar. Lalu datang seekor unta dan bersujud kepada Baginda, maka berkatalah sahabat, ‘Wahai Rasulullah SAW, binatang dan pohon bersujud kepadamu, maka kami adalah lebih sepatutnya bersujud kepadamu.’

Lantas Rasulullah SAW segera menjawab, “Sembahlah Tuhanmu dan muliakanlah saudaramu. Sekiranya saya menyuruh seseorang untuk bersujud kepada orang lain, nescaya saya menyuruh wanita bersujud kepada suaminya. Dan sekiranya saya menyuruhnya (wanita) berpindah dari gunung kuning ke gunung hitam dan dari gunung hitam ke gunung putih, maka tidaklah patut baginya untuk melaksanakannya.” (Riwayat Ahmad)

Selasa, 8 November 2011

Teruskanlah berzikir hingga akhir hayat...

Saudaraku, seiman seaqidah. Mengapa kita terus menerus berzikir? Kerana umur kita terus bertambah dan usia semakin berkurangan. Semakin lama, tiap jam, tiap minit, tiap detik, kita semakin mendekati kematian. Dan sesungguhnya hamba-hamba yang beriman sangat menantikan husnul khatimah.

Bagi orang yang tidak beriman, tidak peduli di mana ia mati. Tapi bagi orang-orang beriman, ia peduli bagaimana cara ia mati.

"Barang siapa yang di akhir hayatnya melafazkan zikir 'laa ilaaha illallah' maka ia akan masuk ke syurga."

Sungguh bahagia mereka yang selalu berzikir kepada Allah. Inilah ibadah hitungan setiap masa.

Ingat, ada ibadah tahunan misalnya solat Aidi Fitri, puasa Ramadhan. Ada pula ibadah bulanan, antara lain puasa sunnah ayyamul biidh. Ada lagi ibadah mingguan, misalnya Solat Jum'at. Ada pula ibadah harian, antara lain solat fardhu lima waktu,iaitu solat Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib hingga Isya'.

Ada ibadah setiap detik, setiap kesempatan, di mana pun, bila pun, dalam keadaan apa sekalipun, iaitu zikir kepada Allah SWT. Dengan demikian hubungan kita dengan Allah SWT tetap terjaga.

Sehingga di saat puncaknya goncangan hidup yang lebih dahsyat dari tsunami, lebih dahsyat dari badai Katrine, dimana semua orang pasti akan mengalaminya, iaitu sakaratul maut; ia tetap tenang, kerana hatinya selalu berzikir kepada Allah lalu Allah memanggilnya seperti dalam surat Al Fajr...

"Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama'ah hamba-hamba-Ku, masuklah ke dalam syurga-Ku." (QS. Al Fajr: 27-30)

Kerana itu, siapa pun yang mahu meninggal dalam keadaan baik, maka ia harus selalu berzikir. Itulah husnul khatimah.


Ahad, 6 November 2011

Azan

Kematian itu pasti menjelma. Hanya masa dan waktunya yang tidak kita ketahui. Cuba kita amati. Mengapa kebanyakan orang yang nazak, hampir ajal tidak dapat berkata apa-apa…. lidahnya kelu, keras dan hanya mimik mukanya yang menahan kesakitan ’sakaratul maut’.

Diriwayatkan sebuah hadis yg bermaksud: ‘Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allah akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya. ‘Ini jelas menunjukkan, kita disarankan agar mendiamkan diri, jangan berkata apa-apa pun semasa azan berkumandang..

Sebagai orang beragama Islam kita wajib menghormati azan. Banyak fadhilatnya. Jika lagu kebangsaan kita diajar agar berdiri tegak dan diamkan diri. Mengapa ketika azan kita tidak boleh mendiamkan diri? Lantas sesiapa yang berkata-kata ketika azan, Allah akan kelukan lidahnya ketika nazak. Kita takut dengan kelunya lidah kita semasa ajal hampir tiba maka kita tidak dapat mengucap kalimah ‘Lailahaillallah..’ yang mana sesiapa yang dapat mengucapkan kalimah ini ketika nyawanya akan dicabut Allah dgn izinNya menjanjikan syurga untuk mereka.

Dari itu marilah kita sama-sama menghormati azan dan mohon kepada Allah supaya lidah ini tidak kelu semasa nyawa kita sedang dicabut.

‘Ya Allah! Anugerahkanlah kematian kami dengan kematian yang baik lagi mulia, lancarkan lidah kami mengucap kalimah ‘Lailahaillallah..’ semasa sakaratul maut menghampiri kami. Amin..amin..amin Yarobbal a’lamin..’


“Kau Cintakan Dia. Tetapi Adakah Dia Cintakan Kau?”


Kita semua mempunyai perasaan sayang dan cinta. Itu lumrah manusia. Malah ia sifat fitrah yang telah ALLAH wujudkan di dalam diri setiap manusia. Cinta sesama manusia, cinta kepada harta, cinta kepada tanahair, cinta kepada kerjaya dan sebagainya.

Pernah kita kadang-kadang dikecewakan. Cinta yang mendalam melahirkan sakit yang mendalam tatkala dikecewakan. Tiada makhuk yang sempurna keadaannya. Cinta pasti melahirkan kekecewaan. Jika sepanjang cinta tidak pernah melahirkan kecewa, pasti di hujung usia ia datang juga untuk mengecewakan.

Mustahil kecewa tidak datang menjenguk diri. Ia mungkin datang sekejap dan pergi. Ia mungkin sekadar mencederakan hati. Sembuh kembali. Atau mungkin juga sehingga membunuh hati. Pokoknya, kecewa dan cinta datang bersekali.

Namun, ada satu cinta yang apabila kita meletakkan cinta, cinta itu tidak akan mengecewakan kita. Yang mana kita rela berkongsi cinta. Cemburu cinta tidak pernah menjelma. Nyaman dan tenang mendamaikan jiwa. Kecewa tiada. Cinta berbalas adalah suatu yang nyata.

Cinta apa itu? Itulah namanya cintakan ALLAH!

Tempat dan kedudukan cinta kita di sisiNYA terbela. Bagaimana cinta kita kepadaNYA, sebanyak itu jugalah cintaNYA kepada kita. DIA meletakkan kita sebagaimana kita meletakkanNYA. Malah, mungkin lebih dari apa yang kita sangka.

Sedangkan mencintai makhluk, kita belum tentu dapat merasai kenikmatan seumpama itu. Belum tentu apabila kita cinta makhluk 100%, dia juga cintakan kita sebanyak itu. Belum tentu apatah lagi tidak tahu.

Cinta kepada makhluk, kita mesti menjaganya. Tetapi cinta kepada ALLAH, ALLAH menjaga kita. Cinta kepada makhluk yang tidur atau berjauhan, kita tidak dapat berhubung dengannya, tetapi cinta kepada ALLAH adalah cinta yang berhubungan sentiasa. Cinta kepada makhluk melahirkan rindu dan tangisan yang kadang-kadang mendatangkan sengsara. Tetapi cinta kepada ALLAH melahirkan rindu dan tangisan kepuasan yang menenangkan jiwa.

Jika orang bertanya tentang cintaku kepada makhluk, “Kau cintakan dia. Tetapi adakah dia cintakan kau?” Aku jawab, “Ya, barangkali.”

Tetapi jika orang bertanya tentang cintaku kepada ALLAH, “Kau cintakan DIA. Tetapi, adakah DIA cintakan kau?” Aku jawab, “Ya, DIA mencintaiku, pasti.”

Berbaloi bukan? Justeru, mana cinta wajar menjadi keutamaan?

(Cinta Allah dapat diraih dengan menunaikan hak-hakNya dan demikian juga cinta manusia dapat diraih dengan menunaikan hak-haknya dan memperlakukan mereka secara adil dan baik. Mendapat cinta Allah adalah tujuan utama seorang hamba dalam hidupnya, maka wajib bagi seorang hamba untuk mengetahui hal-hal yang mendatangkan kecintaan Allah.)

"Ya Allah suburkanlah rasa cintaku ini kpdMu dgn sebenar2 rasa ketaqwaan dan kesabaran...aku cinta dan aku sayang kepadaMu,Ya Tuhanku.Kaulah yg akn sentiasa bertakhta dlm hidup dan matiku."


Ahad, 5 Jun 2011

ASAL USUL NAMA JIHAD

Perkataan Jihad adalah kalimah bahasa Arab yang telahpun diserap ke dalam bahasa Kebangsaan. Fonatik kalimah ini sangat ringkas dan mudah. Namun begitu masyarakat awam mempunyai persepsi dan pemahamannya yang tersendiri terhadap Jihad. Umumnya ramai yang memahami Jihad sebagai suatu aksi yang dikaitkan dengan perjuangan dengan menggunakan senjata dan secara fizikal semata-mata. Kalimah Jihad semata-mata hanya disinonimkan dengan beberapa aksi yang bersifat kekerasan dan begitu drastik, melibatkan senjata api dan berlaku pertumpahan darah atas dorongan untuk mendapatkan Syahid. Pastinya tidak ramai yang menyedari bahawa pegangan sesetengah mereka yang fanatik dan buta ilmu terhadap istilah jihad membawa kepada tercemarnya istilah suci jihad

itu di mata orang Islam dan juga bukan Islam.

USRAH MENGAKRABKAN LAGI HUBUNGAN SESAMA SAUDARA ISLAM

TUNJANG KEKUATAN USROH YANG DI REALISASIKAN DALAM 3 RUKUNNYA IAITU :

–Taaruf

- Tafahum

- Takaful

Apakah itu Taaruf?
Mengenali, memahami dan menyelami setiap sudut tingkahlaku dan latar hidup sesama ahli.
Sentiasa bersangka baik dan menangkis dengan bijaksana dalam menjamin kemurnian ikatan ukhuwwah.
Ukhuwwah yang yang lahir daripada hati dan diterjemah dengan pengorbanan dan kasih sayang .

Apakah itu Tafahum?
Ukhuwwah yang konsisten atas paksi istiqamah, saling nasihat menasihati,muhasabah, saling mempercayai dan saling mendoakan sahabat.
Berlapang dada dalam menerima teguran dan anjakan perubahan diri
Tidak pernah putus asa dan rasa iri hati dalam persahabatan
Sentiasa menghormati dan punya keyakinan tinggi dalam persahabatan.

Apakah itu Takaful?
Berkorban apa sahaja untuk menanggung beban sahabat dengan semangat ’al ithar’ dalam merealisasikan semangat ukhuwwah.
Merasai dan menjiwai persahabatan yang dibina adalah seperti anggota badan kita yang saling toleransi dan merasai kemanisan dan kepahitan hidup bersama.
Hidup mati dan pertemuan perpisahan kerana Allah.


Mari bersama jayakan Usroh ke arah keredhoaan Allah menjalinkan kasih sayang Fillah