Selasa, 8 November 2011

Teruskanlah berzikir hingga akhir hayat...

Saudaraku, seiman seaqidah. Mengapa kita terus menerus berzikir? Kerana umur kita terus bertambah dan usia semakin berkurangan. Semakin lama, tiap jam, tiap minit, tiap detik, kita semakin mendekati kematian. Dan sesungguhnya hamba-hamba yang beriman sangat menantikan husnul khatimah.

Bagi orang yang tidak beriman, tidak peduli di mana ia mati. Tapi bagi orang-orang beriman, ia peduli bagaimana cara ia mati.

"Barang siapa yang di akhir hayatnya melafazkan zikir 'laa ilaaha illallah' maka ia akan masuk ke syurga."

Sungguh bahagia mereka yang selalu berzikir kepada Allah. Inilah ibadah hitungan setiap masa.

Ingat, ada ibadah tahunan misalnya solat Aidi Fitri, puasa Ramadhan. Ada pula ibadah bulanan, antara lain puasa sunnah ayyamul biidh. Ada lagi ibadah mingguan, misalnya Solat Jum'at. Ada pula ibadah harian, antara lain solat fardhu lima waktu,iaitu solat Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib hingga Isya'.

Ada ibadah setiap detik, setiap kesempatan, di mana pun, bila pun, dalam keadaan apa sekalipun, iaitu zikir kepada Allah SWT. Dengan demikian hubungan kita dengan Allah SWT tetap terjaga.

Sehingga di saat puncaknya goncangan hidup yang lebih dahsyat dari tsunami, lebih dahsyat dari badai Katrine, dimana semua orang pasti akan mengalaminya, iaitu sakaratul maut; ia tetap tenang, kerana hatinya selalu berzikir kepada Allah lalu Allah memanggilnya seperti dalam surat Al Fajr...

"Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama'ah hamba-hamba-Ku, masuklah ke dalam syurga-Ku." (QS. Al Fajr: 27-30)

Kerana itu, siapa pun yang mahu meninggal dalam keadaan baik, maka ia harus selalu berzikir. Itulah husnul khatimah.


Ahad, 6 November 2011

Azan

Kematian itu pasti menjelma. Hanya masa dan waktunya yang tidak kita ketahui. Cuba kita amati. Mengapa kebanyakan orang yang nazak, hampir ajal tidak dapat berkata apa-apa…. lidahnya kelu, keras dan hanya mimik mukanya yang menahan kesakitan ’sakaratul maut’.

Diriwayatkan sebuah hadis yg bermaksud: ‘Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allah akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya. ‘Ini jelas menunjukkan, kita disarankan agar mendiamkan diri, jangan berkata apa-apa pun semasa azan berkumandang..

Sebagai orang beragama Islam kita wajib menghormati azan. Banyak fadhilatnya. Jika lagu kebangsaan kita diajar agar berdiri tegak dan diamkan diri. Mengapa ketika azan kita tidak boleh mendiamkan diri? Lantas sesiapa yang berkata-kata ketika azan, Allah akan kelukan lidahnya ketika nazak. Kita takut dengan kelunya lidah kita semasa ajal hampir tiba maka kita tidak dapat mengucap kalimah ‘Lailahaillallah..’ yang mana sesiapa yang dapat mengucapkan kalimah ini ketika nyawanya akan dicabut Allah dgn izinNya menjanjikan syurga untuk mereka.

Dari itu marilah kita sama-sama menghormati azan dan mohon kepada Allah supaya lidah ini tidak kelu semasa nyawa kita sedang dicabut.

‘Ya Allah! Anugerahkanlah kematian kami dengan kematian yang baik lagi mulia, lancarkan lidah kami mengucap kalimah ‘Lailahaillallah..’ semasa sakaratul maut menghampiri kami. Amin..amin..amin Yarobbal a’lamin..’


“Kau Cintakan Dia. Tetapi Adakah Dia Cintakan Kau?”


Kita semua mempunyai perasaan sayang dan cinta. Itu lumrah manusia. Malah ia sifat fitrah yang telah ALLAH wujudkan di dalam diri setiap manusia. Cinta sesama manusia, cinta kepada harta, cinta kepada tanahair, cinta kepada kerjaya dan sebagainya.

Pernah kita kadang-kadang dikecewakan. Cinta yang mendalam melahirkan sakit yang mendalam tatkala dikecewakan. Tiada makhuk yang sempurna keadaannya. Cinta pasti melahirkan kekecewaan. Jika sepanjang cinta tidak pernah melahirkan kecewa, pasti di hujung usia ia datang juga untuk mengecewakan.

Mustahil kecewa tidak datang menjenguk diri. Ia mungkin datang sekejap dan pergi. Ia mungkin sekadar mencederakan hati. Sembuh kembali. Atau mungkin juga sehingga membunuh hati. Pokoknya, kecewa dan cinta datang bersekali.

Namun, ada satu cinta yang apabila kita meletakkan cinta, cinta itu tidak akan mengecewakan kita. Yang mana kita rela berkongsi cinta. Cemburu cinta tidak pernah menjelma. Nyaman dan tenang mendamaikan jiwa. Kecewa tiada. Cinta berbalas adalah suatu yang nyata.

Cinta apa itu? Itulah namanya cintakan ALLAH!

Tempat dan kedudukan cinta kita di sisiNYA terbela. Bagaimana cinta kita kepadaNYA, sebanyak itu jugalah cintaNYA kepada kita. DIA meletakkan kita sebagaimana kita meletakkanNYA. Malah, mungkin lebih dari apa yang kita sangka.

Sedangkan mencintai makhluk, kita belum tentu dapat merasai kenikmatan seumpama itu. Belum tentu apabila kita cinta makhluk 100%, dia juga cintakan kita sebanyak itu. Belum tentu apatah lagi tidak tahu.

Cinta kepada makhluk, kita mesti menjaganya. Tetapi cinta kepada ALLAH, ALLAH menjaga kita. Cinta kepada makhluk yang tidur atau berjauhan, kita tidak dapat berhubung dengannya, tetapi cinta kepada ALLAH adalah cinta yang berhubungan sentiasa. Cinta kepada makhluk melahirkan rindu dan tangisan yang kadang-kadang mendatangkan sengsara. Tetapi cinta kepada ALLAH melahirkan rindu dan tangisan kepuasan yang menenangkan jiwa.

Jika orang bertanya tentang cintaku kepada makhluk, “Kau cintakan dia. Tetapi adakah dia cintakan kau?” Aku jawab, “Ya, barangkali.”

Tetapi jika orang bertanya tentang cintaku kepada ALLAH, “Kau cintakan DIA. Tetapi, adakah DIA cintakan kau?” Aku jawab, “Ya, DIA mencintaiku, pasti.”

Berbaloi bukan? Justeru, mana cinta wajar menjadi keutamaan?

(Cinta Allah dapat diraih dengan menunaikan hak-hakNya dan demikian juga cinta manusia dapat diraih dengan menunaikan hak-haknya dan memperlakukan mereka secara adil dan baik. Mendapat cinta Allah adalah tujuan utama seorang hamba dalam hidupnya, maka wajib bagi seorang hamba untuk mengetahui hal-hal yang mendatangkan kecintaan Allah.)

"Ya Allah suburkanlah rasa cintaku ini kpdMu dgn sebenar2 rasa ketaqwaan dan kesabaran...aku cinta dan aku sayang kepadaMu,Ya Tuhanku.Kaulah yg akn sentiasa bertakhta dlm hidup dan matiku."