Selasa, 29 Mei 2012

Cintai Rasulullah

Antara tanda penghormatan dan rasa kecintaan kepada Rasulullah SAW ialah melalui membaca selawat. Semakin banyak selawat dilafaz semakin besar fadilat dan ganjaran pahalanya di sisi Allah SWT. Kita seharusnya selalu membaca selawat dan jangan menunggu ketika tibanya musim Maulidur Rasul barulah hendak mempergiatkan bacaan itu.


Sebenarnya, bukan manusia mukmin saja yang rindu dan cintakan Rasulullah SAW, kerana jika rajin menyusuri sirah Baginda akan terpahat satu kisah yang sebenarnya patut kita semat di dalam hati sebagai penghayatan.

Diceritakan oleh Jabir bin Abdullah, katanya, “Dulu, masjid menggunakan atap dari pelepah kurma. Apabila berkhutbah, Baginda Rasulullah SAW berdiri berdekatan salah satu pelepah itu. Apabila dibina sebuah mimbar untuknya, Baginda selalu berdiri di atasnya. Kami mendengar tangisan dari pelepah itu seperti unta bunting, sehingga Rasulullah SAW datang mendekatinya lalu mengelus pelepah itu, kemudian pelepah itu terdiam.” (Riwayat Bukhari)

Baginda Rasulullah SAW berpindah ke mimbar yang baru dibina itu adalah hasil pandangan sahabat, memandang semakin ramainya jemaah. Jadi, berdasarkan kisah itu, dapat kita tafsirkan betapa Rasulullah SAW menjadi manusia yang sentiasa dirindu seluruh makhluk Allah kerana Baginda pembawa rahmat.

Kejadian yang dapat disaksikan oleh sahabat Baginda membuktikan kenabian Rasulullah SAW dan hal itu memperkukuhkan iman dan takwa dalam kalangan mereka. Aisyah pernah menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah berada di tengah-tengah sekelompok kaum Muhajirin dan Ansar. Lalu datang seekor unta dan bersujud kepada Baginda, maka berkatalah sahabat, ‘Wahai Rasulullah SAW, binatang dan pohon bersujud kepadamu, maka kami adalah lebih sepatutnya bersujud kepadamu.’

Lantas Rasulullah SAW segera menjawab, “Sembahlah Tuhanmu dan muliakanlah saudaramu. Sekiranya saya menyuruh seseorang untuk bersujud kepada orang lain, nescaya saya menyuruh wanita bersujud kepada suaminya. Dan sekiranya saya menyuruhnya (wanita) berpindah dari gunung kuning ke gunung hitam dan dari gunung hitam ke gunung putih, maka tidaklah patut baginya untuk melaksanakannya.” (Riwayat Ahmad)